PUTUS cinta bukan bererti dunia sudah berakhir atau kehidupan menjadi gelap gelita. Jika diharungi dengan perasaan positif ia mampu menjadikan seseorang itu lebih bersinar dan berjaya. Nur Emelda Ahmad (Melda), 20, misalnya, memperoleh habuan yang cukup lumayan daripada kisah percintaannya yang tidak kesampaian. Mengekspresikan perasaan kecewa terhadap mantan sang kekasih dalam sebuah karya dinamakan Putus, lagu dihasilkan secara unplugged itu bukan saja menarik minat 290,000 pelayar laman sesawang YouTube tetapi juga pihak Sunsilk. Terpesona dengan bakat nyanyian dimiliki Melda serta kemampuan gadis itu bermain gitar, pihak Sunsilk dengan kerjasama Red Communications Sdn Bhd selaku penerbit menjejaki pelajar tahun tiga jurusan vokal Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu. Kemudian, Melda ditawarkan pula membintangi drama realiti berjudul Gadis Semasa Sunsilk (GGS) yang diinspirasikan perjalanan hidup Melda sendiri. Melda yang ditemui di restoran Canteen, Damansara ...