Wanita Perlu Tahu Ilmu Perancangan Pewarisan Harta

Assalamualaikum!

Kali ni YF nak berkongsi sedikit info berkenaan pewarisan harta. Bukan nak tamak haloba nak merampas harta  juta-juta macam dalam drama petang-petang tu ya. Ahaa. Bukan-bukan! Ilmu Perancangan Pewarisan Harta ni wanita perlu ambil berat juga. Bukan lelaki je perlu tahu. Sebab tu, banyak kes-kes di luar sana yang tidak berapa nak menyebelahi wanita disebabkan tiada pengetahuan akan hal ini.







Di Manakah Tahap Kesedaran Wanita?

Kesedaran wanita dalam membuat perancangan pewarisan harta masih lagi rendah. Mereka tahu kepentingan ilmu perancangan pewarisan harta, itu pun jika berlaku kematian dalam keluarga. Yang paling menakutkan, jika kehilangan tempat bergantung, lagi-lagi jika mereka tidak bekerja dan mempunyai anak-anak yang perlu ditanggung. Belum lagi masuk bab hutang piutang dan bil bulanan yang perlu dibayar. Keperluan? Makan minum? Yuran? Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan.

Hal ini tidak terhad kepada wanita yang telah berkahwin saja ya. Ini termasuk wanita bujang juga. Ada juga segelintir wanita yang masih bujang, apatah lagi bekerjaya tinggi, mungkin tidak pernah terlintas difikiran ke mana agaknya harta mereka akan diagihkan sekiranya mereka meninggal dunia. Sedangkan perancangan pewarisan adalah pelengkap kepada perancangan kewangan yang patut dilakukan semasa hayat. 


Pentingnya Peringatkan Suami dan Diri

Hal ini lebih kepada bersiap siaga untuk menghadapi kebarangkalian yang kita tidak pernah terjangka akan terjadi di kemudian hari. 



Wanita Telah Berkahwin 

Surirumah mahupun bekerjaya, mereka sewajarnya sentiasa memainkan peranan mengingatkan suami secara kerap supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan. Jika suami belum membuat perancangan harta secara wasiat atau hibah, sila beritahu suami untuk melakukannya selagi masih diberikan kesihatan yang baik dan kudrat untuk bergerak ke mana-mana. Selepas itu, laksanakan perancangan pewarisan demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak. 

Ibu Tunggal / Belum Berkahwin

Golongan ini juga tidak terkecuali membuat perancangan pewarisan supaya harta yang dimiliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah dan selebihnya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. 

Bahasa mudahnya, tanpa persiapan yang betul ke atas perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan anak tiri yang sememangnya kita berhasrat supaya mereka menikmati manfaat daripada harta pusaka yang ditinggalkan. 

Dokumen Harta Perlu Disimpan Dan Direkod

Dalam membuat perancangan pewarisan, perkara pokok yang perlu diketahui oleh wanita adalah dengan memastikan suami dan diri sendiri untuk:
  • Simpan semua geran atau perjanjian yang ada.
  • Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik.
  • Simpan cover note atau polisi takaful yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih. Ia penting supaya baki hutang pembiayaan dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah.
  • Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi.
  • Nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan.
  • Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada.
  • Kenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan. Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik
Nota: Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.
  • Waris-waris yang perlu disenaraikan ialah:
  1. Anak-anak
  2. Isteri
  3. Ibu dan bapa
  4. Jika mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu, juga perlu dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut
  5. Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari
Dokumen yang perlu ada dalam simpanan:
  • Salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia)
  • Daftarkan segera perkahwinan supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti
  • Pastikan semua anak-anak berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan

Kenali Instrumen Perancangan Pewarisan Harta 

1) Wasi / Penama / Pentadbir

Melantik wasi / penama / pentadbir yang akan bertindak untuk mentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti.

2) Hibah

Memindahmilikkan / menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi.

3) Wasiat

Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti.

4) Amanah

Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda.

5) Wakaf

Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan. 

6) Faraid

Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada. 

Apakah Tindakan Yang Perlu Dilakukan? 

1) Dapatkan khidmat dan nasihat profesional 
  • Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah.
  • Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.
  • Di sinilah pemilik harta boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka.
2) Sediakan peruntukan kewangan 
  • Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya.
  • Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai. Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta. 

Fuh. Banyak perkara yang YF baru tahu dan perlu belajar dengan lebih lagi. Walaupun baru mendirikan rumah tangga, tak salah untuk bersikap ambil tahu. YF pun berharap korang yang baca entri YF kali ni bolehlah belajar sikit kan, daripada tak tahu langsung pasal perancangan pewarisan harta ni demi kesejahteraan masa depan. Kalau rasa nak tahu lebih lanjut lagi, bolehlah rujuk pegawai bertugas di MAIS dengan menghubungi platform di bawah:
No. Telefon: 03-55143773 / 3772

Laman Sesawang : mais.gov.my | wasiat.com.my

Instagram : mais_officialhq | wasiatislam



Twitter : maisgovmy



Imej mungkin mengandungi: teks

--------------------------------------------------
YF: Jangan ambil hak orang



Comments

Popular posts from this blog

Bibir Lembut Dengan Liquid Lipstick SoBella!

Ter’jatuh’ Hati Dengan Minyak Wangi Syahirah

Betul Ke Tudung Bawal Fareha Anti Kedut?